Thursday 18 June 2015

SAMBAL SOTONG

Disebabkan Kak Ani dah lama tak documentkan (dalam erti kata lain, taip segala resipi ,masuk dalam blog) resipi ke dalam blog, maka kawan2 yang sudi menjenggah ke blog yang serba kekurangan ni akan dapat lah lihat segala resipi yang ada darinya dah di masak setahun yang lalu, baru nak diupdatekan dalam blog. Tapi itulah, di atas faktor kekangan masa yang membuatkan semua masakan ni tersimpan rapi saja di dalam external hard drive Kak Ani. 
.
.
.
.
.
Kali ni, Kak Ani nak kongsikan resipi Sambal Tumis Sotong. Ya, memang terdapat pelbagai resipi sambal sotong, tetapi, bagi Kak Ani, resipi sambal ini adalah di antara kegemaran Kak Ani oleh kerana rasanya yang pedas dan bak kata orang " kick"! Hahah. Kak Ani ni sememangnya gemarkan yang pedas. Gambar yang kawan2 tgk dibawah ni, Kak Ani tangkap masa tengah sibuk study di Edinburgh dulu. Kononnya rindukan masakan Melayu. Bak usikan kawan Kak Ani, ke mana jauh merantau sekalipun, mahukan belacan sebagai juadah selera juga. Ok lah, jom kita tengok resipinya.


SAMBAL SOTONG
By : Iryani Choo
Saiz hidangan : 5-6 orang

Bahan2 :
10 ekor sotong -dibersihkan dan dipotong
3 sudu makan cili sos
1 sudu makan pes asam jawa ( boleh juga sekiranya menggunakan perahan air asam jawa yang biasa)
1 sudu makan gula
1 labu bawang besar - dipotong besar untuk hiasan
 Air mengikut kepekatan yang dikehendaki
Garam dan perasa secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan kisar :
Segenggam cabai kering - rendam dalam air panas, toskan dan mesin halus.
2cm belacan
1 labu bawang besar

*** kalau anda perasan, terdapat beberapa ekor udang dalam gambar di atas. Udang atau seafood yang lain, bolehlah ditambah mengikut citarasa anda ya!

Cara2 :
1) Kisarkan bahan kisar hingga halus. Panaskan minyak dan masukkan bahan kisar. Tumis hingga naik baunya dan pecah minyak.
2) Seterusnya, masukkan air,
asam jawa dan cili sos.Perasakan dengan garam, perasa dan gula. Kacau sebati dan biarkan seketika.
3) Seterusnya, masukkan sotong dan kacau sebati.Masukkan bawang yang dipotong bulat dan
biar menggelegak sebentar, anggaran 8-10minit untuk memastikan sotong masak. Walau bagaimana pun, elakkan dari ter "over cook" sotong untuk mendapatkan sotong yg manis dan lembut bila dimakan. Padamkan api, sedia untuk di makan bersama dengan nasi panas! :)

CUCUR BILIS

Subhanallah, setelah hampir setahun Kak Ani menyepikan diri, di saat dan kala ini baru tergerak hati nak aktif menulis dan berblog semula. Bukan disebabkan sombong dan hilang minat untuk menulis dan berkongsi, cuma lepas jer pulang dari pengajian master, Kak Ani terus masuk kerja dan sibuk tak berkesudah. Begini la kerja sebagai seorang arkitek, hidup kami ni sentiasa sibuk memanjang, terutama bila hampir tarikh untuk hantar segala lukisan2 bangunan kepada pihak berkuasa. Satu projek, beratus2 keping drawing perlu disemak sebelum dihantar. Itu belum lagi dicampur dengan design proposal yang sentiasa penuh diatas meja yang perlukan "amendment" dari pihak client dan juga meeting2 penting yang tak pernah berhenti mengejar2 kami. Huhu..berat kan kerja macam kami ni. Itu belum lagi dicampur dengan soal tanggungjawab sebagai seoranng arkitek untuk memastikan projek yang kami uruskan berjalan lancar, jimat kos dan selamat diduduki apabila ianya siap kelak. Sememangnya tak seperti apa yang digambarkan di dalam drama2 melayu kat tv tu yang menggambarkan arkitek yang banyak masanya sehingga ada masa untuk pening2 pikirkan soal cinta. Hakikatnya, sebaliknya. Tapi, bila difikirkan kembali, kerja apa lah di dalam dunia ni yang tak ada cabaran dan juga susahnya? semua kerja pun masing2 mempunyai cabaran dan juga ujian ketahanannya yang tersendiri.
.
.
.
.
Sedar tak sedar, kita telah pun menjenggah masuk ke bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Bulan yang sememangnya menjadi bulan kegemaran Kak Ani. Semoga kita saling bermaafan dan semoga kita memperolehi barakah di bulan yang mulia ini. Cakap pasal bulan puasa, mesti ramai yang gemar berkunjung ke bazaar Ramadhan. Terdapat pelbagai juadah enak yang tersedia untuk dibeli. Hanyalah sekadar pendapat dan peringatan buat diri sendiri, kawal lah nafsu semasa membeli. Sememangnya, di masa perut kita lapar ni, memanng kalau ikutkan segala benda kita nak beli dan makan. Tetapi, itulah salah satu hikmah berpuasa, untuk kita menjaga hawa nafsu. Resipi yang Kak Ani nak kongsi hari ni ialah Cucur Bilis. Cucur ni sememangnya antara kegemaran keluarga saya terutamanya untuk berbuka puasa. Teksturnya ranggup diluar dan lembut didalam. Memang enak dimakan panas2. Ok lah, mari kita lihat resipi yang mudah ini.





CUCUR BILIS
By : Iryani Choo
Saiz hidangan : 5-6 orang

Bahan2
2 cwn tepung gandum
1 1/2 cwn air suam (+- ikut kepekatan adunan, kepekatan sederhana)
senggengam ikan bilis - dibasuh dan di tos
1 biji bawang besar - dihiris nipis
Seikat kecil kucai - dipotong
1/2 kiub pati ikan bilis - dihancurkan
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Minyak untuk menggoreng - pastikan minyak banyak dan betul2 panas sebelum menggoreng.

Cara2 :

1) Basuhkan ikan bilis dan toskan. Hiris bawang dan potong kucai. Basuh bersih dan ketepikan.
2) Di dalam mangkuk, masukkan tepung bersama bahan2 yang lain. Masukkan air, kacau hingga semuanya sebati. Sukatan air bolehlah ditambah atau dikurangkan mengikut kepekatan adunan. Dalam resipi ini, Kak Ani guna air suam kerana air suam akan menjadikan cucur kita lembut hingga ke petang! :)
3) Panaskan minyak sehingga betul2 panas. Sudukan/masukkan adunan kita tadi kedalam minyak panas dan goreng. Angkat cucur apabila ianya telah kekuningan masak. Sedia untuk dihidangkan bersama kuah kacang atau sos cili.